Terdapat dua jenis Mohor Besar Raja-Raja yang berada dalam simpanan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Mohor Besar pertama berukuran 51 cm panjang, 22 cm lebar, 52 cm tinggi, dan seberat 93 kilogram (Gambar 1).
Gambar 1 |
Manakala Mohor Besar kedua pula berukuran 51 cm panjang, 14 cm lebar, 35.5. cm tinggi, dan seberat 38 kg. Mohor Besar kedua ini lebih ringan dan mudah untuk dibawa ke luar pejabat apabila diperlukan (Gambar 2).
Gambar 2 |
Kedua-dua Mohor Besar ini dibuat di England pada 1949 dengan kos GBP 211.10 setelah ianya diluluskan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali keempat pada 31.8.1948. Sistem mekanikal untuk menekap Mohor pada surat cara adalah agak unik kerana ia menggunakan kaedah 'fly press stamping' iaitu dengan pemusingan tombol di bahagian atas mesin tersebut. Permukaan Mohor Besar Raja-Raja ini mengandungi jata sembilan negeri Melayu Beraja dan tertulis perkataan '' MOHOR BESAR RAJA-RAJA NEGERI MELAYU" dalam huruf jawi (Gambar 3, 4 & 5).
Gambar 3 |
Gambar 4 |
Gambar 5 |
Dari segi fungsi, Mohor Besar ini melambangkan kekuasaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Surat cara yang dimeterai oleh Mohor Besar melambangkan kepercayaan dan kuasa yang diberikan. Mohor Besar juga membuktikan kesahihan dan kebenaran sesuatu surat cara. Antara surat cara yang memerlukan penurunan Mohor Besar ini ialah:
- Surat cara yang memuatkan keputusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-raja yang dihantar kepada Yang Di-Pertua Dewan Negara, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.
- Surat cara lantikan Raja sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
- Surat cara bagi pelantikan-pelantikan seperti termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan. Contoh pelantikan yang memerlukan rundingan dengan Majlis Raja-Raja ialah pelantikan Hakim-Hakim, Ketua Polis Negara, Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya, Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Ketua Audit Negara.
Rujukan:
1. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Penyimpan_Mohor_Besar_Raja-Raja
2. Jabatan Penerangan Malaysia